fb fb fb fb fb

Bantuan Khas Kewangan penjawat awam pacu ekonomi, kurangkan jurang kemiskinan

Foto BERNAMA

Nilai, 15 Disember – Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dijangka mampu memberikan impak positif yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara, sekali gus membantu mengurangkan jurang kemiskinan dalam masyarakat.

Penganalisis ekonomi yang juga Ketua Pegawai Digital Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Syaril Nizam Omar, berkata inisiatif tersebut berupaya mewujudkan dinamika ekonomi yang lebih besar selaras dengan nilai Malaysia Madani, khususnya aspek ihsan.

Menurut beliau, pemberian tersebut bukan sahaja meringankan beban kewangan penjawat awam, malah turut membantu mengurangkan jurang antara golongan berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah.

“Langkah ini dapat mengurangkan jurang kemiskinan antara yang kaya dan miskin serta mengurangkan keperluan kewangan golongan pertengahan dan berpendapatan rendah, seterusnya merancakkan ekonomi negara,” katanya.

Tambah beliau, pemberian itu juga dijangka menghasilkan ‘multiplier effect’ atau kesan berganda, di mana perbelanjaan yang dilakukan akan merangsang pelbagai sektor ekonomi termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Walaupun nilai bonus kelihatan kecil secara individu, namun secara keseluruhan jumlah perbelanjaan boleh melebihi RM1 bilion. Ini akan memberi kesan berganda kepada ekonomi, terutama dengan kewujudan lebih sejuta pemain industri kecil dan sederhana,” jelasnya.

Selain itu, Dr Syaril Nizam berkata pemberian bonus pada awal tahun amat signifikan kerana bertepatan dengan tempoh perbelanjaan tinggi seperti sesi persekolahan dan persediaan menjelang Ramadan.

“Bonus ini membantu meningkatkan kuasa beli rakyat untuk perbelanjaan keperluan asas, persiapan sekolah, perbelanjaan Ramadan, pembayaran bil utiliti, zakat serta aktiviti kebajikan seperti sedekah dan jamuan berbuka puasa,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa inisiatif tersebut bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada penjawat awam, malah turut menyumbang kepada kelangsungan dan pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI