fb fb fb fb fb

Penantian 10 tahun berakhir, pemilik PPR Ampar Tenang terima kediaman

Projek PPR Ampar Tenang memberi kelegaan kepada 404 buah keluarga pekerja ladang di Dengkil untuk memiliki kediaman sendiri / Foto Bernama

DENGKIL, 13 Januari – Penantian selama 10 tahun bagi 404 pemilik kediaman kos rendah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, di sini akhirnya berakhir selepas penyerahan projek itu kepada Jabatan Perumahan Negara (JPN).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata proses penyerahan kunci kepada pemilik akan diselesaikan sepenuhnya tahun ini, membolehkan mereka memasuki kediaman masing-masing.

“Penantian ini telah pun berjalan selama 10 tahun dan Alhamdulillah, dengan kerjasama dan kesungguhan daripada Kerajaan Malaysia Madani, penantian 10 tahun ini akan berakhir di sini,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Penyerahan PPR Ampar Tenang kepada JPN, di sini.

Menurut Aiman, PPR Ampar Tenang merupakan hasil kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor melalui pengambilan tanah estet milik Sime Darby Berhad seluas 12.14 hektar dengan nilai RM15 juta.

Projek tersebut melibatkan pemilik yang kebanyakannya pekerja dari empat ladang iaitu Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgely.

Mereka sebelum ini ditempatkan di perumahan sementara di Taman Permata, Dengkil.

Projek PPR Ampar Tenang yang bermula pada 2017 menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 31 Disember 2024.

Kediaman tersebut merupakan unit teres satu tingkat dengan keluasan 750 kaki persegi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN