fb fb fb fb fb

MALBATT 850-12 beri perkhidmatan kesihatan kepada komuniti tempatan di Lubnan

Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 telah memberikan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti tempatan yang terkesan akibat konflik di Lubnan menerusi program MALBATT Medic Care Day / Foto MALBATT

MARAKAH, 13 Januari – Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 telah memberikan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti tempatan yang terkesan akibat konflik di Lubnan menerusi program MALBATT Medic Care Day.

Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi Hj Mohd Shalleh berkata selain memberi bantuan asas seperti kotak makanan dan selimut musim sejuk kepada penduduk Marakah, pihaknya juga memberi kesedaran mengenai penyakit kolera dan menawarkan pemeriksaan asas kesihatan.

“Di antaranya adalah program kesihatan asas untuk pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan gigi, dan program untuk memberi kesedaran mengenai masalah kolera,” katanya.

Program tersebut mendapat penyertaan seramai 158 orang warga tempatan bagi pemeriksaan kesihatan dan pergigian.

Selain itu, aktiviti bersama kanak-kanak seperti mewarna juga dijalankan untuk mempereratkan hubungan antara pasukan Malaysia dan masyarakat setempat.

Tambah Johan, aktiviti tersebut bertujuan untuk memperkukuh hubungan serta merapatkan jurang komunikasi antara pasukan pengaman Malaysia dengan komuniti Lubnan, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai peranan Malaysia dalam misi pengaman global.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN