fb fb fb fb fb

Bilik khas ulang kaji untuk calon SPM di PPS di Johor

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan/ BERNAMA

KOTA TINGGI, 13 Januari- Semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor akan disediakan bilik khas bagi mengulang kaji pelajaran.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata inisiatif menyediakan kemudahan itu bagi memastikan calon SPM boleh melalui proses pembelajaran dan ulang kaji dengan selesa semasa musim peperiksaan. 

"Pada dasarnya semua PPS kita telah menyediakan kemudahan kepada anak-anak murid mangsa banjir untuk memastikan mereka boleh melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang sewajarnya. Begitu juga dengan calon SPM, seramai 12 calon SPM berada di pusat ini.

"Pihak sekolah telah berbincang dengan ibu bapa murid, pihak sekolah telah menyediakan bilik khas untuk murid-murid calon SPM ini mengulang kaji", katanya ketika mengadakan lawatan ke PPS SJK(C) New Kota, Kota Tinggi.

Calon SPM di kawasan terjejas banjir di negeri itu turut diberi kemudahan bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan sama ada tinggal di asrama sekolah atau tinggal di bilik khas di sekolah yang dijadikan PPS. 

PPS SJK(C) New Kota, Kota Tinggi menempatkan 208 penduduk terjejas banjir daripada 53 keluarga dari Taman Aman dan Taman Mawai, Kota Tinggi. 

Sementara itu, seramai 33 calon SPM terkesan banjir di Johor.

Exco Pendidikan dan Penerangan, Aznan Tamin berkata daripada jumlah itu, 21 calon SPM tinggal di PPS, manakala selebihnya tinggal di rumah saudara.

Semua sesi pengajaran dan pembelajaran(PDP) di sekolah di Johor yang dijadikan PPS tidak terganggu dan masih berjalan seperti biasa.

"33 orang tidak semua di Kota Tinggi, melibatkan lima daerah Kota Tinggi, Pontian, Segamat dan sebagainya. Supaya kita pantau keadaan mereka ini, tak nak mereka ini terganggu. Walaupun kita masih bersedia dari segi hujan, belum lagi kita dapat jangkakan bila berhenti. Masih ada lagi PPS dan ada di Kota Tinggi, beberapa PPS juga telah mula buka", katanya selepas melawat penduduk terjejas banjir di PPS SJK(C) New Kota, Kota Tinggi.

Secara keseluruhan di Johor, seramai 49,980 calon menduduki peperiksaan SPM di 376 buah pusat peperiksaan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menyediakan 133 pusat peperiksaan alternatif (PPA) bagi menempatkan calon SPM di enam negeri berisiko jika pusat pemeriksaan sedia ada dilanda banjir.

ROSLINA BINTI DIN