fb fb fb fb fb

Penanam melon manis Terengganu manfaatkan teknologi pintar

(Tanaman melon manis di Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 6 Disember- Teknologi pintar kini digunakan dalam kalangan pengusaha tanaman melon manis di Terengganu.

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Datuk Zulkepli Amin Mat Jusoh berkata penggunaan Internet Pelbagai Benda (IoT) atau telefon pintar digunakan bagi mencapai hasrat tersebut.

Ia merupakan Revolusi Industri 4.0 berkaitan data dan pertanian pintar.

Teknologi ini telah mula digunakan oleh 10 peserta di daerah Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Besut pada awal Januari lalu.

"Cuma kita tengok peranti dia tu kita bantulah dengan modem dia, pengesan dia, yang boleh dihantar kat telefon pintar dia dan di situlah dia bertindak apa yang perlu dia lakukan. Dalam telefon pintar tu semua arahan dibuat menggunakan sistem dan alhamdulillah setakat ini kalau dia tak pergi kebun pun boleh bekerja dalam telefon dia, insya-Allah," kata Zulkepli.

Penggunaan aplikasi yang dibangunkan oleh sebuah syarikat telekomunikasi itu akan diperluas kepada lebih ramai petani di negeri ini.

Dalam pada itu beliau berharap menteri baharu yang dilantik menerajui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan dapat memantapkan lagi Dasar Agro Makanan Negara.

Dasar berkenaan yang akan berakhir tahun depan penting dalam menjamin bekalan makanan yang cukup ke arah pertanian mampan.

(Datuk Zulkepli Amin Penanam melon manis Terengganu manfaatkan teknologi pintar)

"Harapan saya pada Kabinet baharu kita tengok mcm mana untuk mempergiat ekonomi seterusnya menambahkan lagi kesejahteraan rakyat Malaysia. Maknanya Malaysia menuju ke arah pertanian berteknologi tinggi untuk menghasilkan makanan yang selamat dimakan dan bernutrisi," tambahnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu mengumumkan barisan menteri Kabinet melalui pembentukan kerajaan perpaduan.

Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu telah dilantik sebagai Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan.

Media Baharu