fb fb fb fb fb

Penambakan di Batu Puteh, PM minta Singapura teliti kesan persekitaran, persempadanan

SINGAPURA, 31 Januari - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya Singapura meneliti setiap penambakan di sekitar kawasan Batu Puteh, agar tidak memberi kesan kepada persekitaran dan persempadanan.

Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) meletakkan kawasan Batu Puteh sebagai milik Singapura, maka penambakan yang dilakukan Singapura adalah mengikut keputusan yang sah.


(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim)

"Hal itu harus dimuktamadkan. Saya mendapat persetujuan Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk mendengar hujah kita dalam masa terdekat," katanya di sini malam tadi.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata beliau mahukan supaya rundingan itu dilakukan secara baik antara dua negara sahabat.

Dalam merumuskan lawatan sehari beliau ke Singapura semalam, Anwar berkata kunjungan beliau dapat manfaatkan beberapa perkara temasuk isu rundingan terus serta isu sensitif, yang menurutnya boleh dibincangkan lagi dengan teliti, termasuk berkaitan isu pembekalan air.

Anwar berkata terdapat kesediaan Singapura membuka perbincangan berkaitan isu air dengan perkiraan baharu bagi memastikan bekalan air mencukupi bagi negeri Johor dan republik ini, dan menurutnya rundingan penyumberan air boleh diperluas ke negeri Pahang.

Beliau berkata perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong turut menyentuh isu berkenaan kesesakan di Tambak Johor, yang disifatkan Anwar sebagai menyusahkan ratusan ribu rakyat Malaysia dan juga rakyat Singapura ke Malaysia.

Mengenai lalu lintas ruang udara, Anwar berkata kedua-dua negara bersetuju untuk menetapkan kawasan yang harus jadi hak mutlak Malaysia.

Di samping itu, Singapura bersedia berbincang supaya laluan untuk Lapangan Terbang Antaranangsa Changi tidak diganggu sesiapa, supaya dapat dimanfaatkan untuk laluan penerbangan republik itu.

 

Media Baharu