fb fb fb fb fb

Penambahbaikan pengangkutan awam antara tiga agenda utama kementerian - Anthony Loke

PUTRAJAYA, 6 Disember- Penambahbaikan pengangkutan awam, digitalisasi perkhidmatan dan keselamatan jalan raya antara agenda utama yang akan diberikan tumpuan Kementerian Pengangkutan.

Menterinya Anthony Loke berkata beliau berharap penambahan tren dapat dibuat bagi mengurangkan kesesakan pengangkutan awam.

Namun katanya, hal itu bergantung kepada perbincangan dengan pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi melihat kekangan teknikal yang ada sekiranya frekuensi tren ditambah terutamanya ketika waktu puncak.

“Semalam saya sendiri telah menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) bertujuan untuk memahami keadaan sebenar masalah yang dihadapi pengguna, saya perlu berbincang dengan operator dalam minggu ini bagi mendapatkan penjelasan perancangan mereka.

“Yang kita harap dapat laksanakan ialah tambah kekerapan tren tetapi ini ada cabaran teknikal sama ada sistem kita boleh hadapi frekuensi yang lebih kerap dan sebagainya.

“Semalam yang saya lihat setiap tren (kekerapan) dalam lima minit tetapi semalam pukul 6.00 petang ada tren tergendala dan terpaksa dibawa secara manual dan ada tren terpaksa berhenti di atas platform hampir lima minit,” katanya selepas menyampaikan amanat kepada kakitangan kementerian itu di sini, hari ini.

(Foto fail)

Terdahulu, Loke mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya di bangunan Kementerian Pengangkutan pada pukul 8.33 pagi sebagai tanda memulakan tugas secara rasmi.

Mengenai digitalisasi dalam perkhidmatan, Loke berharap perkhidmatan yang ditawarkan kepada orang ramai dapat dibuat secara digital sekali gus melancarkan operasi agensinya.

“Digitalisasi telah kita mulakan masa saya dalam kementerian sebelum ini antaranya sistem pendaftaran nombor plat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) eBid, ada banyak sektor yang perlu kita laksanakan pendigitalan baik di JPJ, Jabatan Laut dan pengangkutan awam, saya rasa kita mesti berusaha ke arah ini (digitalisasi).

“Visi saya mahu lihat dari sekarang keseluruhan perkhidmatan yang kita bagi kepada rakyat boleh ditawarkan secara digital tanpa ada kontak fizikal selari dengan norma baharu pandemik COVID-19,” katanya.

Loke dalam pada itu turut berkata projek-projek yang sedang berjalan termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diteruskan.

“Saya rasa projek-projek yang sedang berjalan itu kalau yang telah mula saya rasa tidak ada masalah untuk kita teruskan, itu secara amnya. Kami belum meneliti butirannya lagi tetapi saya tahu untuk Kementerian Pengangkutan satu projek besar sudah tentu diteruskan seperti ECRL,” katanya.

Media Baharu