KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Kerajaan tidak pernah meminggirkan negeri di pantai timur khususnya dalam aspek pemeliharaan serta pemulihan hutan.
Kenyataan itu disokong dengan usaha dalam menyebarluaskan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) melalui dana pembiayaan Global Environmental Facility (GEF).
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata wakil-wakil dari semua negeri termasuk dari pantai timur telah menghadiri sesi libat urus bagi mendapatkan maklumat dalam mengenal pasti program atau projek yang berpotensi.
Langkah itu termasuk penglibatan dalam program pembangunan kapasiti dan perkongsian pengetahuan semasa pelaksanaan projek-projek lain mengikut kesesuaian.
"Komitmen daripada kerajaan Persekutuan berhubung perkara ini amat jelas bawah Belanjawan 2023 untuk tahun ini. EFT adalah wang yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri berdasarkan keluasan hutan, inisiatif-inisiatif pemulihan bioversiti dan lain-lain.
Bagi tahun 2023, peruntukan dinaikkan daripada RM70 juta kepada RM150 juta. Namun, untuk Belanjawan 2024, kerajaan telah naikkan kepada RM200 juta sekali gus dapat membantu kerajaan negeri dalam memulihara kawasan hutan mereka, termasuk tadahan air dan sebagainya," kata Nik Nazmi di Parlimen, hari ini.
(Menteri NRECC, Nik Nazmi Nik Ahmad)
Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Alias Razak di Parlimen.
Tambahnya, sejak menyertai GEF juga sebanyak 21 buah projek di peringkat nasional telah dilaksanakan dengan jumlah pembiayaan sebanyak AS$76.951 juta dolar.