
PUTRAJAYA, 8 Julai – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying menegaskan kenyataannya di Dewan Rakyat berhubung isu pengguguran kandungan tidak bertujuan mengetepikan pengecualian yang diperuntukkan di bawah undang-undang sedia ada.
- Undang-undang: Seksyen 312–316 KK mengkriminalkan pengguguran, tetapi Seksyen 312 memperuntukkan pengecualian jelas untuk risiko nyawa atau kecederaan fizikal/mental.
- Kekeliruan timbul kerana jawapan bertumpu pada klinik haram tanpa menyebut pengecualian undang-undang secara jelas.
- KPWKM menegaskan komitmen menghormati kerangka perundangan dan berharap penjelasan menjernihkan kedudukan undang-undang pengguguran.
Dalam kenyataan media hari ini, beliau berkata pihaknya mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan beberapa pihak berhubung jawapan yang diberikan bagi soalan tambahan Ahli Parlimen Kepala Batas semasa sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin lalu.
Menurut Lim, Seksyen 312 hingga Seksyen 316 Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa pengguguran kandungan pada asasnya merupakan satu kesalahan jenayah.
Bagaimanapun, katanya, undang-undang Malaysia turut memperuntukkan pengecualian yang jelas di bawah Seksyen 312.
“Di bawah peruntukan itu, pengguguran kandungan boleh dilakukan oleh seorang pengamal perubatan berdaftar sekiranya beliau berpendapat bahawa meneruskan kehamilan akan membawa risiko kepada nyawa wanita hamil atau menyebabkan kecederaan kepada fizikal atau mentalnya yang lebih besar berbanding jika kehamilan ditamatkan,” katanya.
Beliau berkata kekeliruan mungkin timbul kerana dalam jawapan di Dewan Rakyat itu beliau tidak menyatakan secara jelas mengenai peruntukan pengecualian tersebut apabila merujuk secara khusus kepada soalan tambahan berkaitan jumlah klinik yang dikesan menjalankan perkhidmatan pengguguran secara haram atau tanpa kebenaran di seluruh negara.
Lim menegaskan penjelasan yang diberikan bertujuan memperjelaskan bahawa kenyataannya tidak menafikan kewujudan pengecualian yang dibenarkan undang-undang, sebaliknya salah tafsiran mungkin berlaku apabila kenyataan itu dilihat secara terasing daripada keseluruhan konteks jawapan.
Beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus komited menghormati dan mengiktiraf kerangka perundangan yang berkuat kuasa di negara ini serta menghargai pandangan semua pihak.
“Saya berharap penjelasan ini dapat menjernihkan sebarang kekeliruan mengenai kenyataan saya serta kedudukan undang-undang berkaitan,” katanya.