
ARAU, 10 Julai – Persatuan Alumni UiTM Perlis menyampaikan sumbangan 67 buah kerusi batu riadah dan wang tunai sebanyak RM7,000 kepada Dana Kebajikan Pelajar UiTM Cawangan Perlis dan RM1,000 kepada Tabung Masjid An-Nur.
- Persatuan Alumni mencerminkan semangat kebersamaan, keprihatinan dan tanggungjawab membantu kebajikan pelajar serta pembangunan universiti.
- Presiden alumni menegaskan sumbangan sebagai simbol kasih sayang, penghargaan dan usaha memupuk budaya memberi kembali.
- Rektor mengucap terima kasih, yakin hubungan alumni dan UiTM akan diperkukuh melalui kerjasama strategik memberi manfaat kepada warga kampus.
Presiden Persatuan Alumni UiTM Perlis, Ahmad Shamsul Baharin Mohd Hanafiah, sumbangan itu mencerminkan semangat kebersamaan, keprihatinan serta tanggungjawab alumni dalam membantu meningkatkan kebajikan pelajar dan pembangunan kemudahan universiti.
“Sumbangan yang disampaikan bukan sekadar bantuan material, malah merupakan simbol kasih sayang, penghargaan dan rasa tanggungjawab alumni terhadap institusi yang telah membentuk kejayaan mereka.
”Budaya memberi kembali akan terus diperkasakan agar lebih ramai alumni tampil menyumbang demi kebajikan pelajar serta pembangunan UiTM Cawangan Perlis pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Alumni yang berlangsung di Masjid An-Nur, UiTM Cawangan Perlis, pada Khamis.
Sementara itu, Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Persatuan Alumni UiTM Perlis atas keprihatinan dan sokongan berterusan yang diberikan kepada universiti.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa hubungan erat antara alumni dan UiTM akan terus diperkukuhkan melalui pelbagai bentuk kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada warga kampus dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai alumni untuk menyumbang kembali kepada institusi yang telah banyak berjasa dalam membentuk kejayaan mereka.