fb fb fb fb fb

Penagih ugut ibu dengan parang maut ditembak

(Mohd Yusri Hassan Basri)

IPOH, 24 Mei- Seorang penagih dadah maut ditembak selepas bertindak agresif dengan membuat ugutan untuk menetak dan mencederakan ibunya di Hutan Melintang, Perak, semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 10.00 pagi itu, suspek, 44, berada di bawah pengaruh dadah serta mempunyai dua rekod lampau.

Pihak polis sebelum itu telah memujuk suspek untuk memberikan kerjasama, namun dia enggan dan telah bertindak agresif dengan mengacukan parang dan gunting kepada mangsa berusia 72 tahun.

"Suspek meletakkan parang ditengkuk mangsa dan menuntut polis beredar. Bimbang akan keselamatan mangsa, polis sedaya upaya memujuk suspek supaya bertenang, namun dia bertindak memeluk mangsa sambil mengacukan parang dan gunting kepada mangsa.

"Polis kemudian secara berhati-hati telah memotong pintu jeriji yang dikunci dari dalam oleh suspek, namun menyedari polis berjaya masuk, suspek menolak mangsa sehingga terjatuh dan pengsan serta membaling kipas angin sambil menghayunkan parang kepada anggota polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, atas faktor keselamatan, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan dan terkena bahagian bahu kiri suspek sebelum dia rebah ke lantai serta mangsa berjaya diselamatkan.

Suspek kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan dan bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan bunuh) serta mati mengejut (SDR).

(Foto fail)

Media Baharu