fb fb fb fb fb

Pemusatan data dan transformasi digital hal ehwal Islam akan dilaksana - Na'im

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Oktober- Transformasi pemusatan data dan pendigitalan sistem Pengurusan Hal Ehwal Islam akan dilaksanakan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar berkata setiap agensi akan berkongsi satu pelantar perkhidmatan yang sama sebagai 'one stop center' yang memusatkan segala informasi dan perkhidmatan hal ehwal Islam seperti pentauliahan, fatwa, falak dan haji. 

"Jadi, bila mana kita ada satu bank data yang kita boleh sebut sebagai 'one stop centre', semua data-data contohnya berkaitan dengan asnaf ada di situ. Tidak berlaku pertindihan. Jadi, itu yang saya sebutkan tadi dalam konteks transformasi Al Falah yang kita nak bina ini nanti, perlu ada satu usaha ke arah memusatkan data-data itu tadi.

Apabila kita ada semua data daripada 14 agensi agama ini, maka kita boleh manfaatkan data tersebut dan ia harus dimulakan daripada kita," kata Na'im kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agensi-Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kali ke-3, di ibu negara.


(FOTO BERNAMA)

Tambahnya, menerusi inisiatif itu ia akan memberikan satu kemudahan yang meluas kepada masyarakat bagi mendapatkan segala informasi dan perkhidmatan Hal Ehwal Islam dari kesemua agensi agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) secara lebih pantas dan sistematik.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru agar semua ketua agensi memberikan perhatian khusus daripada aspek pengurusan isu dan komunikasi di media sosial agar segala tohmahan yang dilemparkan ke atas agensi agama dapat ditepis serta tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Media Baharu