fb fb fb fb fb

Pemisahan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya langkah reformasi institusi Kerajaan MADANI

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said/RTM

KUALA LUMPUR, 6 Oktober -Kerajaan MADANI mengambil langkah signifikan dalam agenda reformasi institusi dengan memutuskan untuk memisahkan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, bagi memperkukuh prinsip akauntabiliti serta ketelusan dalam sistem perundangan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pemisahan itu akan dilaksanakan secara menyeluruh melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dijangka dibentangkan pada tahun hadapan. 

Katanya, Jemaah Menteri pada 10 September lalu telah bersetuju menerima pakai model pengasingan penuh, dengan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dipegang oleh dua individu berbeza yang mempunyai kedudukan setara.

Beliau menjelaskan, langkah seterusnya ialah pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pelaksanaan pemisahan kuasa itu dibuat secara sah di sisi undang-undang.

"Pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya bukan sekadar isu teknikal undang-undang, tetapi berkait langsung dengan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan. Sebab itu kerajaan mahu laksanakannya secara teliti, menyeluruh dan inklusif," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu) di Dewan Rakyat berhubung status terkini cadangan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, di Dewan Rakyat.

Selepas pindaan itu dikuatkuasakan, kerajaan turut akan memperkenalkan dua rang undang-undang baharu, iaitu Rang Undang-Undang Saraan bagi menentukan struktur gaji dan elaun bagi jawatan Pendakwa Raya, serta Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang Pendakwaan untuk menyelaras pelbagai undang-undang berkaitan fungsi pendakwaan.

TETITIA YUSOFF