KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Mesyuarat Kumpulan Kerja Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Maklumat, Media dan Latihan (ASEAN SOMRI WG-IMT) ke-10 memainkan peranan penting dalam memperkukuh agenda komunikasi serantau serta membina kepercayaan awam di rantau ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa berkata tanggungjawab kumpulan kerja itu merangkumi penambahbaikan dasar, memperkukuh sektor media yang profesional dan bertanggungjawab, serta memastikan penggunaan media sosial dimanfaatkan secara positif untuk meningkatkan kesedaran komuniti ASEAN.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa/Foto BERNAMA
“Kita juga dipertanggungjawabkan untuk mereka bentuk program latihan bagi mempertingkat keupayaan teknikal dan kawal selia, selain mempromosi akses kepada maklumat serta ICT agar tiada komuniti di ASEAN yang tercicir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Kumpulan Kerja Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Maklumat, Media dan Latihan (ASEAN SOMRI WG-IMT) ke-10 di sini, hari ini.
Mesyuarat ke-10 ASEAN SOMRI WG-IMT kali ini memberi tumpuan kepada laporan kemajuan Pelan Strategik ASEAN bagi Maklumat dan Media 2016–2025, selain membincangkan isu semasa termasuk kemunculan kecerdasan buatan generatif (AI) dan media sintetik yang mengubah cara maklumat disebar serta dipercayai.
Dalam pada itu, beliau turut memuji inisiatif negara anggota ASEAN dalam memerangi berita palsu, termasuk platform semakan fakta WASPADA.bn oleh Brunei, kempen “Say No to Fake News” oleh Kemboja, serta usaha Malaysia melalui MyCheck Malaysia.
Namun, katanya, cabaran baharu seperti kandungan palsu yang dijana AI dan kekangan sumber menuntut ASEAN mempunyai dasar yang lebih relevan dan berpandangan jauh.
Mengimbas hasil Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Maklumat (AMRI) dan Mesyuarat Pegawai Kanan SOMRI, beliau berkata tema “Media Memperkasa Persefahaman Bersama (MAJU)” menjadi panduan dalam membentuk media sebagai pemangkin persefahaman dan ketahanan serantau.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua delegasi yang hadir di Kuala Lumpur, sambil menyeru agar kerjasama ASEAN terus diperkukuh bagi membina komuniti yang lebih bersatu padu, bermaklumat dan berdaya tahan menghadapi cabaran masa depan.