BALAKONG, 6 Oktober- Sistem komunikasi yang digunakan dalam pelayaran misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) kali ini dilengkapi kemudahan teknologi satelit yang membolehkan pemantauan dilakukan secara berterusan dari pusat kawalan dan bagi tujuan keselamatan delegasi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar, semua kapal terlibat kini dilengkapi rangkaian satelit Starlink sekali gus membolehkan sukarelawan berhubung secara langsung dengan pusat kawalan serta membolehkan komunikasi taktikal dan penyampaian maklumat dilakukan tanpa gangguan sepanjang pelayaran
'Jika dulu sebagaimana saya kongsi, pada 2016, 2018, kita tak ada teknologi Starlink kita ada satelit telefon, memang disediakan satelit itu untuk Dr. Fauziah, Dr Afandi, sebab mereka boleh berhubung dan melaporkan keadaan semasa. Tapi kali ini kita beralih kepada teknologi tersebut selepas menyaksikan sendiri teknologi digunakan pihak IHH di Istanbul," katanya.
Beliau menjelaskan, kapal utama Conscience yang membawa lapan wakil Malaysia dilengkapi sembilan unit CCTV, manakala kapal-kapal sokongan lain turut dipantau secara masa nyata oleh Pusat Kawalan IHH di Istanbul.
Tambah beliau, sistem komunikasi terbuka itu bukan sahaja memudahkan penyelarasan pelayaran, malah membolehkan rakaman tindakan di atas kapal, termasuk sebarang tindakan oleh Tentera Israel (IDF) disiarkan kepada dunia secara masa nyata.
Dalam masa sama, pasukan khas komunikasi turut ditubuhkan di ibu pejabat MyCARE bagi memastikan keluarga peserta menerima perkembangan terkini secara berterusan, di samping berfungsi menguruskan pelan kecemasan jika diperlukan.
Setakat pukul 2.20 pagi tadi, kesemua sembilan kapal misi ini telah memasuki perairan antarabangsa dan kini kurang 250 batu nautika dari pesisir Gaza.
Secara keseluruhan misi ini melibatkan kira-kira 150 peserta dari 25 buah negara termasuk 9 orang delegasi Malaysia.