fb fb fb fb fb

PM Pakistan diberi sambutan rasmi di Perdana Putra

Ketibaan Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif di Kompleks Perdana Putra pagi tadi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebagai tanda hormat

PUTRAJAYA, 6 Oktober- Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia dengan menerima sambutan negara di Kompleks Perdana Putra, di sini, hari ini.

Ketibaan beliau pada pukul 9.00 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebagai tanda hormat.

Shehbaz kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Majlis sambutan itu turut dihadiri oleh para diplomat asing, pegawai kanan kerajaan serta wakil kementerian dan agensi dari kedua-dua negara.

Selepas upacara sambutan, Shehbaz menandatangani buku pelawat sebelum menghadiri mesyuarat dua hala bersama Anwar.

Terdahulu, pesawat khas yang membawa beliau dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.46 malam tadi dan ketibaan disambut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Lawatan Shehbaz ke Malaysia adalah atas jemputan Perdana Menteri dan bertujuan membalas lawatan rasmi Anwar ke Pakistan pada Oktober 2024, sekali gus mencerminkan usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Lawatan rasmi berkenaan dijangka memperkukuh hubungan diplomatik, perdagangan, ekonomi dan pelaburan selain membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang pendidikan, pertahanan dan pembangunan teknologi.

SITI AISHAH BINTI MD ISA