fb fb fb fb fb

Peminjam berkemampuan enggan bayar PTPTN berdepan tindakan lebih tegas

Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir/ BERNAMA

SUBANG JAYA, 24 Oktober - Tindakan lebih tegas akan dikenakan ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sudah berkemampuan tetapi masih enggan menunaikan tanggungjawab membayar balik pinjaman.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menegaskan, pembayaran semula dapat membantu mengukuhkan aspek pendapatan PTPTN dan membantu peminjam lain untuk meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

"Dengan langkah-langkah yang akan dilaksanakan, hasil yang diperloleh itu akan dapat membantu pelajar-pelajar baharu yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Itu merupakan matlamat PTPTN, ia bukan menganiaya peminjam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dan merasmikan majlis Anugerah Akademik Negara ke-16 di sini hari ini.

Terdapat peminjam yang langsung tidak membuat bayaran sejak hari pertama dikehendaki membuat bayaran sehingga kini, walaupun sedang bekerja dan berpendapatan tinggi.

"Ada kategori peminjam yang langsung tidak mahu membayar daripada hari pertama sehingga sekarang. Mereka ini sebenarnya sudah bekerja, mempunyai pendapatan tinggi, dan tergolong dalam kumpulan yang benar-benar ingkar (real defaulters),” katanya.

Kerajaan mengambil pendekatan berimbang dengan memahami keadaan peminjam baharu yang masih belum berupaya melakukan pembayaran kerana kekangan kewangan.

"Kita faham ada dalam kalangan mereka yang baru tamat pengajian setahun atau dua tahun dan belum berkeupayaan untuk membayar. Sebab itu kerajaan tidak mahu menganiaya mana-mana pihak dan memahami kedudukan ekonomi mereka," katanya lagi.

Pendekatan itu bertujuan memastikan sistem kutipan pinjaman kekal mampan tanpa membebankan peminjam yang benar-benar tidak mampu.

Bagaimanapun peminjam yang menghadapi masalah kewangan diminta untuk memaklumkan kepada PTPTN, sekiranya tidak mempunyai kemampuan untuk membayar pada jumlah sedia ada.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI