KUALA LUMPUR, 24 Oktober -Kementerian Kerja Raya (KKR) mengarahkan semua agensi di bawahnya bertindak segera dan bersepadu dalam menghadapi kejadian bencana susulan cuaca buruk yang melanda beberapa negeri.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan pantas amat penting khususnya dalam menangani insiden seperti tanah runtuh yang berlaku di Pulau Pinang dan banjir di beberapa kawasan di Perak.
Beliau memaklumkan, kerja-kerja pembersihan di lokasi terjejas telah dilaksanakan, namun pemantauan cerun masih diteruskan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Saya telah mengarahkan agar tindakan pantas, penyelarasan di lapangan dan pelaporan terkini dilaksanakan tanpa lengah.
Setiap jam amat berharga apabila nyawa dan keselamatan rakyat menjadi keutamaan,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Pasca Kabinet KKR, hari ini.
Beliau menegaskan, semua warga kementerian dan agensi berkaitan perlu bertindak dengan ‘sense of urgency’, serta memastikan setiap keputusan dilaksanakan secara proaktif dan berkesan.
Katanya, semangat tanggungjawab itu perlu dikekalkan bukan sahaja ketika krisis, tetapi dalam setiap pelaksanaan tugas bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan keselamatan infrastruktur negara sentiasa terjamin.