fb fb fb fb fb

Dr Siti Zuraina dinobat sebagai Tokoh Akademik Negara 2025

Pakar arkeologi, Prof Emeritus Datin Dr Siti Zuraina Abdul Majid dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara 2025/ BERNAMA

SUBANG JAYA, 24 Oktober - Pakar arkeologi, Prof Emeritus Datin Dr Siti Zuraina Abdul Majid dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara 2025 pada Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-16.

Beliau merupakan saintis ulung dikenali hasil penemuan saintifik berkaitan revolusi prasejarah Malaysia menerusi penyelidikan di Lembah Lenggong dan Niah.

"Ini anugerah terbesar, tertinggi sekali untuk seorang akademik. Saya rasa terharu, saya rasa bangga dan saya sangat bersyukur sebab ini bukanlah sesuatu yang boleh dijangkakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima Tokoh Akademik Negara 2025 pada Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-16 di sini.

Prof Emeritus Datin Dr Siti Zuraina turut dikenali susulan kejayaan menemukan teknologi alat batu paleolitik tertua di Asia Tenggara dan peluasan budaya gangsa dari Thailand ke Malaysia.

Selain itu beliau juga menemukan rangka Perak Man dengan kecacatan genetik 10,000 tahun lalu yang memberikan sumbangan penting kepada sejarah sains perubatan dan genetik.

"Saya rasa bidang arkeologi semakin matang dan ia mencapai ke tahap ini. Jadi saya rasa sangat bertuah disokong dengan misi dan bukan sekadar hobi.

"Pada waktu itu, disiplin arkeologi di Malaysia belum ada lagi. Jadi saya bersyukur apabila saya sudah pencen, saya dapat lihat pembinaan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global di Universiti Sains Malaysia (USM).

"Saya semakin seronok sebab arkeologi berada pada tangan mereka yang pakar, berkebolehan untuk membawanya ke masa depan," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI