KUBANG PASU, 25 November - Operasi pemindahan penduduk terjejas banjir diteruskan oleh agensi terlibat di sekitar daerah Kubang Pasu berikutan trend air banjir kini bergerak ke kuala iaitu dari Changlun ke Jitra dan Anak Bukit.
Menurut Seketariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah (JPBN), satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan di daerah itu menjadikan 13 PPS setakat pukul 4 petang tadi.
Jumlah penduduk yang ditempatkan di PPS daerah Kubang Pasu berjumlah 1,503 orang daripada 481 keluarga .
Bagaimanapun di daerah Kulim, satu-satunya PPS yang tinggal ditutup pukul 12.00 tengah hari tadi.
Banjir melanda lebih 30 kampung melibatkan empat mukim iaitu Mukim Temin, Mukim Sungai Laka, Mukim Binjal/Hosba, Mukim Keplu dan Mukim Ah.
Antara kampung yang terjejas adalah Kampung Nangmah, Kampung Paya Nongmi, Kampung Masjid , kampung Paya Lantau dan Kampung Kelubi dan Kampung Paya Tok Kiong.