fb fb fb fb fb

Pemimpin ASEAN mahu penglibatan wanita dalam pelbagai bidang dipertingkat

Tan Sri Johari Abdul

KUALA LUMPUR, 26 Mei- Penglibatan golongan wanita dalam pelbagai bidang perlu ditingkatkan bagi mengukuhkan pembangunan khususnya dalam negara ASEAN.

Pandangan berkenaan dilontarkan Pemimpin-pemimpin anggota ASEAN dalam Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di ibu negara.

Yang Dipertua Dewan Rakyat juga Presiden AIPA, Tan Sri Johari Abdul, berkata penglibatan wanita di Malaysia dalam bidang-bidang tertentu seperti pendidikan dan perkhidmatan awam sangat mengalakkan.

Namun, penglibatan wanita dalam bidang politik dilihat masih ketinggalan berbanding dengan negara lain.

"Hampir semua kampus, populasi wanita jauh lebih ramai daripada lelaki mungkin lebih 50 peratus dalam pendidikan. Jadi kami telah melakukannya dengan baik. Namun dalam bidang lain termasuk politik, kita masih ketinggalan berbanding negara lain.

"Ini adalah bidang yang kami ingin usahakan untuk meningkatkan penyertaan dalam kalangan wanita muda. Selain memastikan golongan ini lebih aktif, dan mungkin mengambil peranan yang lebih besar dalam perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Sidang Media AIPA di ibu negara.

Selain wanita, Tan Sri Johari juga mahu golongan muda melibatkan diri dalam semua bidang untuk membina masa depan negara yang lebih baik.

Dalam pada itu AIPA juga akan terus memberi fokus kepada perubahan iklim, keselamatan makanan dan kecerdasan buatan (AI).

Tan Sri Johari berkata anggota Asean akan bekerjasama terutamanya dalam mengekalkan kestabilan dan keamanan serantau.

"Kita mahu menyaksikan bahawa ASEAN mengekalkan impak dan saling membantu antara satu sama lain. Sekiranya kita ada masalah-masalah tertentu seperti yang telah pun disebutkan tadi, respons beberapa pemimpin negara diperlukan.

"Perkara itu supaya ahli parlimen memainkan peranan berhubung isu yang terlibat. Selain itu ia boleh diselesaikan dengan cara yang baik," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI