JOHOR BAHRU, 29 Julai- Seorang pemilik restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas pertuduhan memberi rasuah bernilai RM2,000 kepada seorang ejen kerajaan, tahun lalu.
Tertuduh, Tan Kai Dee, 23 tahun membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Tertuduh didakwa atas pertuduhan memberi rasuah kepada seorang Pembantu Penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) pada 4 November, tahun lalu.
Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap restoran miliknya.
Perbuatan dilakukan pada pukul 6.20 petang di sebuah premis restoran, dekat Taman Mutiara Mas, Skudai, Johor Bahru.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Tertuduh dibenar diikat jamin sebanyak RM10,000 dan kes disebut semula pada 17 September depan.