KUALA LUMPUR, 29 Julai - Ketelusan dalam komponen kos pembekalan elektrik dijangka menggalakan pengguna bukan domestik menerokai sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) sebagai alternatif bagi mendapatkan bekalan elektrik yang lebih kompetitif.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia juga selaras dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan penjanaan elektrik daripada sumber TBB,sekali gus menyokong agenda Peralihan Tenaga Negara.
Selain, memperkukuh usaha tanggungjawab sosial dan korporat dalam mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.
"Kementerian turut memperkenalkan insentif cekap tenaga yang diberikan secara langsung kepada pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 1,000 kWj dan ke bawah, serta kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang menggunakan elektrik 200 kWj dan ke bawah.
"Insentif ini bertujuan menggalakkan golongan sasar mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah dan cekap. Pengurusan tenaga yang baik bukan sahaja membantu mengimbangi permintaan elektrik, malah turut menyumbang kepada peningkatan sumber penjanaan elektrik daripada Tenaga Boleh Baharu (TBB), selaras dengan agenda peralihan tenaga negara.
Sementara itu, mengulas mengenai tarif elektrik, Datuk Seri Fadillah memaklumkan, 85 peratus pengguna tidak akan terkesan dengan sebarang kenaikan menerusi semakan semula jadual tarif di Semenanjung.
Jelasnya, tindakan itu selaras dengan penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pengguna tidak akan terkesan kepada sebarang kenaikan tarif bil tersebut bagi memastikan tiada kenaikan bil yang akan membebankan rakyat.
"Oleh itu, jadual tarif ini telah disusun semula bagi memastikan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 1,000 kWj dan ke bawah tidak mengalami sebarang kenaikan bil elektrik, selagi penggunaan bulanan kekal seperti bulan sebelumnya.
"Ini kerana komponen insentif cekap tenaga turut diperkenalkan bagi menggalakkan penggunaan elektrik secara berhemah serta membantu memastikan kos bil elektrik kekal berpatutan bagi golongan sasar," katanya ketika menjawab soalan yang dikemukan oleh Wakil Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari yang ingin mengetahui mengenai dakwaan tarif elektrik ketika ini membebankan rakyat.
Tambah Datuk Seri Fadillah, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 600 kWj dan ke
bawah juga menerima pengurangan melalui pengecualian pembayaran caj peruncitan dan kos Pelarasan Automatik Kos Bahan Api (AFA).
Bermula pada 1 Julai lalu, Suruhanjaya Tenaga (ST) telah melaksanakan Jadual tarif elektrik baharu di Semenanjung yang di strukturkan semula supaya lebih
jelas dengan memaparkan caj tenaga, caj kapasiti, caj rangkaian dan caj peruncitan bagi setiap kategori pengguna.