fb fb fb fb fb

Akta Keselamatan Dalam Talian dikuat kuasa hujung tahun ini - Fahmi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Julai - Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) dijangka dikuatkuasakan seawal hujung tahun ini, sebagai langkah menangani penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk kandungan deepfake.

Perkara itu dinyatakan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil semasa sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau memaklumkan isu kandungan AI generatif seperti video atau audio yang menggambarkan seseorang seolah-olah mengeluarkan kenyataan palsu kini menjadi perbincangan serius di peringkat nasional dan antarabangsa.

Menurutnya, pengguna media sosial perlu lebih berwaspada dan memiliki keupayaan asas untuk mengesahkan kesahihan sesuatu kandungan dalam talian.

Datuk Fahmi berkata, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pusat Ekonomi Digital Malaysia sedang meneliti keperluan bagi mewajibkan penandaan kandungan seperti “AI Generated” atau “AI Enhanced” pada platform digital.

Ia bagi membantu pengguna mengenal pasti kandungan yang dihasilkan teknologi ini.

"Platform-platform ini perlu bertanggungjawab dan tidak boleh membiarkan kandungan bersifat deepfake disebar dengan mudah," tegas beliau.

Tambahnya, pelaksanaan mekanisme pelabelan kandungan dijangka dimuktamadkan menerusi peraturan baharu di bawah OnSA, yang kini dalam fasa akhir penyediaan teknikal oleh MCMC.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI