fb fb fb fb fb

Pemilik kedai haiwan tuntut penjelasan Jabatan Perhilitan Pulau Pinang, rampas haiwan jualannya

GEORGE TOWN, 30 Julai- Seorang pemilik kedai haiwan menuntut penjelasan daripada Jabatan Perhilitan Pulau Pinang dan memberi makluman lanjut berhubung rampasan haiwan jualannya.

Tidak berpuashati dengan cara Jabatan Perhilitan Pulau Pinang meneruskan kes rampasan pelbagai haiwan di kedainya, Lim Khye Shyuan berharap jabatan itu akan mencari jalan penyelesaian dengan cara terbaik.

Ini kerana sejak Mac lalu, haiwan jenis kura-kura, burung kakaktua, biawak, tarantula, iguana , labah-labah dan pelbagai haiwan lagi yang dirampas di kedainya seolah-olah tiada noktah dalam siasatan.

" Pada 25 Mac lalu, Jabatan Perhilitan ada buat pemeriksaan di kedai saya, mereka kata saya tiada lesen namun saya sudah maklumkan yang saya baru sahaja bertukar alamat.

"Mereka sudah rampas haiwan-haiwan di sini, sudah beberapa bulan saya ke pejabat Jabatan Perhilitan untuk melihat haiwan-haiwan saya yang dirampas dan hendak berjumpa dengan pegawai penyiasat. Namun, mereka memberikan bermacam alasan, jadi saya sudah buntu dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan," kata Lim Khye Shyuan.

Beliau berkata, rampasan di kedainya adalah gara-garanya tidak mengemaskini alamat baharu premis perniagaan.

Akibat rampasan tersebut, Lim Khye Shyuan mengalami kerugian mencecah hampir RM200,000.

Usahawan itu telah membuat satu laporan polis di IPD Timur Laut dan sehingga kini kes itu masih dalam siasatan dan beliau amat berharap Jabatan Perhilitan Pulau Pinang tampil memberi penerangan atau membawa kes itu ke mahkamah untuk mendakwanya.

 


(Lim Khye Shyuan ketika ditemu bual wartawan RTM) 

Media Baharu