fb fb fb fb fb

Pemilihan PKR tidak berbangkit hanya kerana aduan – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 29 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu pemilihan parti tidak seharusnya dianggap berbangkit semata-mata kerana terdapat aduan dan bantahan di peringkat cabang.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelaskan tindakan menimbulkan persepsi negatif hanya kerana terdapat laporan yang belum disahkan adalah satu sikap prejudis yang tidak wajar.

“Disebabkan ada aduan, maka pemilihan parti dianggap berbangkit? Ini sangat prejudis. Hanya kerana ada pihak tertentu yang membuat aduan, itu tidak boleh dijadikan asas. Aduan yang diterima kami ambil perhatian, dan ketika ini juruaudit antarabangsa sedang meneliti serta menyemak setiap aduan tersebut,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia MADANI dan Rumah Mampu Milik di Mukim Batu, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut menggesa agar tempoh gencatan senjata di Myanmar yang dijadualkan berakhir esok dilanjutkan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan terus disalurkan kepada penduduk yang terjejas.

“Kami telah merayu kepada kedua-dua pihak dan menekankan bahawa gencatan senjata ini sangat kritikal serta memastikan bantuan kemanusiaan disampaikan tanpa sebarang diskriminasi,” ujarnya.

Malaysia, katanya, kekal konsisten menyokong penyelesaian secara aman terhadap konflik di Myanmar dan menekankan pentingnya kebajikan orang awam diberi keutamaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN