KEPALA BATAS, 16 Mei - Menjelang pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025, saingan bagi jawatan Timbalan Presiden berlangsung dalam suasana yang sihat dan matang tanpa sebarang pertelingkahan antara calon.
Menurut Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil, kedua-dua calon yang bertanding iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar memiliki ketokohan tersendiri serta pendekatan yang berbeza dalam usaha meraih sokongan.
"Kedua-duanya ada teknik dan cara tersendiri untuk mereka menyampaikan pandangan visi mereka kepada perwakilan".
"Ada yang menggunakan statistik, ada yang menggamit memori, berhujah dengan slaid dan membina semangat perjuangan," katanya ketika ditemui media selepas program Jelajah Kita Keadilan Zon Utara di Dewan Tok Mat Yahoo, Kepala Batas, semalam.
Tambah beliau, Presiden Parti turut menyokong agar kedua-dua tokoh tersebut terus memainkan peranan penting dalam parti, terutamanya di peringkat akar umbi selepas pemilihan nanti.
Kongres Nasional PKR 2025, termasuk Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Wanita, dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 24 Mei di Johor Bahru.
Hari pengundian ditetapkan pada 23 Mei.