fb fb fb fb fb

Model kewangan Islam Malaysia, tarik perhatian Tatarstan

Foto BERNAMA

KAZAN, 16 Mei - Tatarstan menyatakan minat yang jelas untuk mengadaptasi model kewangan Islam yang diamalkan di Malaysia sekaligus memperluas usaha mereka dalam memperkal sistem perbankan patuh syariah secara rasmi di Rusia.

Rais Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov berkata, pihaknya serius untuk mempelajari kepakaran Malaysia dalam bidang kewangan khususnya berkaitan perbankan Islam serta meneroka secara lebih mendalam pengalaman Malaysia sebagai peneraju dalam sektor tesebut.

Perkara tersebut dinyatakan oleh beliau ketika pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kremlin Kazan selama kira-kira 10 minit.

Pertemuan tersebut berlangsung sejurus ketibaan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kazan dari Moscow, sebagai sebahagian daripada siri lawatan rasmi beliau ke Rusia.

Tatarstan merupakan salah satu daripada empat wilayah perintis bagi pelaksanaan projek perbankan Islam selama dua tahun di Rusia, yang dimulakan pada tahun 2023.

Tiga lagi wilayah ialah Bashkortostan, Chechnya dan Dagestan.

Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Rusia untuk mengembangkan sistem kewangan Islam secara lebih sistematik, terutamanya dalam kalangan masyarakat Islam di negara itu.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE