KUALA LUMPUR, 23 Oktober- Peruntukan sebanyak RM6.8 bilion oleh kerajaan kepada industri Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) harus dimanfaat sebaik mungkin.
Pensyarah (Pembangunan Belia) Fakulti Pengajian Pendidikan (UPM), Profesor Madya Dr. Muhd Mursyid Arshad berkata agenda yang digagaskan itu memerlukan sinergi daripada institusi pengajian awam dan swasta.
"Program TVET ini adalah program yang relevan untuk keperluan semasa. Untuk kita pastikan supaya padanan tersebut berlaku dalam sektor pekerjaan semasa, banyak agenda yang perlu dilakukan.
Antaranya, kita perlu memastikan lebih banyak lagi peluang-peluang pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang memfokuskan kepada praktikal agar kita ada lagi banyak program-program ataupun pengisian ke arah itu," kata Dr Muhd Mursyid kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
(Pensyarah (Pembangunan Belia) Fakulti Pengajian Pendidikan (UPM), Profesor Madya Dr. Muhd Mursyid Arshad)
Menurut beliau, laluan TVET memberikan peluang yang cerah kepada graduan TVET dalam menjana pendapatan dan mencipta peluang pekerjaan sendiri.
Tambah beliau, industri berkenaan memberi impak positif di peringkat pendidikan tinggi dengan pembangunan makmal serta peralatan-peralatan yang berkaitan TVET.