MESIR, 22 Oktober- Arab Saudi dan Malaysia sepakat memperkuatkan tekad untuk menyelaras dan meningkatkan usaha dalam menjaga keamanan, kestabilan, dan keselamatan antarabangsa dan pada masa sama akan terus berusaha mempertingkat pelaburan dalam pelbagai bidang termasuk menerusi projek bawah Wawasan 2030 Arab Saudi.
Komitmen itu dinyatakan menerusi kenyataan bersama di keluarkan kerajaan Arab Saudi selepas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu pada Sabtu yang dilihat terus memperkukuhkan hubungan dua hala antara ke dua-dua negara.
Kedua-dua pihak juga menekankan kepentingan mengaktifkan Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia (SMCC) dan jawatankuasa kecil berkaitan bagi mencapai aspirasi kepimpinan dua negara seterusnya menyumbang kepada usaha mempertingkat dan membangunkan perkongsian serta kerjasama dalam bidang serta minat sama ke dua-dua negara.
Dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan, kedua-dua pihak sepakat untuk menilai cabaran ekonomi global serta peranan masing-masing dalam menghadapinya.
Arab Saudi dan Malaysia juga menyatakan kepentingan secara meluas dalam beberapa aspek ekonomi yang signifikan, dan mengalu-alukan pertumbuhan positif dalam nilai perdagangan dua hala sebanyak 160% pada 2022 berbanding 2021.
"Kedua-dua pihak menyatakan keazaman untuk meningkatkan pelaburan antara kedua-dua negara, dan mendapat manfaat daripada peluang pelaburan yang disediakan menerusi program dan projek Wawasan 2030 kerajaan Arab Saudi serta mendapat manfaat daripada kepakaran dan keupayaan syarikat Malaysia," kata kenyataan itu.
Kedua-dua pihak juga menyatakan aspirasi untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pembiayaan Islam dengan menyediakan produk dan perkhidmatan pembiayaan bersifat keislaman khususnya berkaitan dengan bidang Murabah Islam.
“Arab Saudi menghargai sokongan kerajaan Malaysia kepada Tawaran Kerajaan Arab Saudi untuk menjadi tuan rumah ASOSAI 2027,” menurut kenyataan sama.
(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan
Perdana Menteri Arab Saudi Putera Mahkota Mohammed bin Salman/Foto Bernama)
Sementara itu dalam bidang tenaga, Malaysia dan Arab Saudi memuji kerjasama erat dalam meningkatkan kestabilan pasaran minyak global, termasuk usaha negara-negara OPEC+.
Ia juga menekankan kepentingan dan keperluan untuk semua negara mengambil bahagian dalam perjanjian OPEC+ untuk menyokong pertumbuhan ekonomi global.
Arab Saudi juga menegaskan akan terus menjadi rakan kongsi terbesar dan pengeksport minyak mentah ke Malaysia yang paling boleh dipercayai.
Langkah kerjasama itu meliputi bidang petrokimia dan pertanian nutrien, serta kerjasama untuk mengeksploitasi peluang pelaburan dalam bidang penapisan dan petrokimia, di samping kerjasama dalam penggunaan hidrokarbon secara inovatif.
Malaysia turut mengalu-alukan inisiatif 'Saudi Green' dan 'Middle East Green', dan menyatakan sokongannya dalam bidang perubahan iklim melalui pelaksanaan pendekatan Ekonomi Karbon yang disokong oleh pemimpin negara G20.
Kedua belah pihak turut menekankan kepentingan mematuhi prinsip Rangka Kerja Konvensyen mengenai Perubahan Iklim dan Perjanjian Paris, serta keperluan membangun dan melaksanakan perjanjian iklim dengan memberi tumpuan kepada pelepasan.
Pihak Saudi mengalu-alukan pelancaran pelan hala tuju tenaga iaitu “National New Renewable Energy Roadmap (NREP) baru-baru ini oleh Malaysia sebagai langkah positif dalam usaha untuk mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama lain, antaranya dalam tenaga boleh diperbaharui dan teknologinya, alam sekitar, ekonomi digital, pelancongan, pendidikan tinggi, kesihatan, serta industri pertanian dan makanan.-
Mengenai bidang pertanian dan makanan kedua-dua negara mengalu-alukan pengembangan perkongsian pelaburan antara sektor swasta.
Mengenai hal ehwal antarabangsa, kedua-dua pihak memperbaharui tekad mereka untuk meneruskan penyelarasan dan mempergiatkan usaha yang bertujuan untuk mengekalkan antarabangsa keamanan dan keselamatan.
(Anwar Ibrahim (kiri) dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman/Foto Bernama)
Malaysia juga bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa bagi mencapai keamanan dan kestabilan di rantau ini dan dunia.
Pihak Malaysia mengalu-alukan persetujuan Kerajaan Arab Saudi dan Republik Islam Iran untuk menyambung semula hubungan diplomatik kerana ia akan meningkatkan keselamatan dan kestabilan serantau, dengan cara memelihara kedaulatan negara dan tiada campur tangan dalam hal ehwal dalaman mereka.
Mengenai perjuangan Palestin, kedua-dua pihak menekankan keperluan untuk menghentikan semua bentuk peningkatan ketenteraan di wilayah Palestin, serta keperluan untuk melindungi orang awam juga kepentingan peranan masyarakat antarabangsa dalam menekan pihak Israel untuk berhenti menyerang Semenanjung Gaza.
Selian itu Israel pula, perlu menghormati undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Berkenaan konflik semasa Palestin-Israel, kedua-dua negara perlu mencapai keamanan mengikut prinsip penyelesaian dua negara yang berkaitan resolusi legitimasi dan Inisiatif Keamanan Arab, dengan cara yang menjamin hak rakyat Palestin.
Selain itu, krisis Rusia-Ukraine turut diberi perhatian. Arab Saudi dan Malaysia menekankan kepentingan menyelesaikan pertikaian dengan cara aman bagi memulihkan keselamatan dan kestabilan serta mengehadkan kesan negatif krisis itu.