LUMUT, 24 Februari- Pemerkasaan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) merupakan satu langkah jangka panjang kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga mahir dari luar negara, pada masa akan datang.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, antara pendekatan yang diambil adalah dengan memperluas bidang pengajian TVET ke peringkat tertinggi melalui rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
"Kita tidak lagi boleh bergantung kepada tenaga luar. Kita ambil contoh di Jepun, mereka telah membuat perancangan dengan begitu teliti dalam bidang-bidang yang ada pada masa kini dan masa akan datang."
"Contohnya bidang kecerdasan buatan (AI), memerlukan masa yang rapi daripada negara, begitu juga bidang elektrik dan elektronik yang diumumkan YB Menteri MITI tempoh hari. Negara hanya mampu menghasilkan 5,000 jurutera dalam bidang berkenaan, namun industri memerlukan kira-kira 53,000 orang. Ia satu jurang yang besar," kata Zambry kepada pemberita dalam sidang media Program Kembali Ke Sekolah 2024 di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung, di sini.
Pada program tersebut, beliau menyampaikan sumbangan bernilai RM150,000 kepada 1,000 pelajar terdiri dalam kalangan B40.
Tambahnya, stigma TVET sebagai pendidikan kelas kedua perlu dihapuskan, apabila ada kemunculan industri-industri baharu yang memerlukan tenaga pakar dalam bidang tersebut.