BARCELONA, 24 Februari- Pencapaian Malaysia menerajui pelaksanaan rangkaian 5G negara akan dikongsi dalam Mobile World Congress Barcelona (MWC 2024) di Sepanyol.
Perkara itu akan dikongsi Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam ucaptamanya.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan turut akan berkongsi mengenai cabaran pelaksanaan rangkaian 5G negara, dengan pelaksanaannya sudah mencapai 80.2 peratus setakat 31 Disember lalu.
"MWC merupakan peluang yang cukup baik untuk kita tunjuk bagaimana pentadbiran Kerajaan Madani hari ini memberi fokus dalam memudah cara terutama proses perniagaan."
"Kelulusan dan permit dan sebagainya menjadi satu keutamaan kerana kita ingin lihat pelaburan meningkat dan bagaimana Malaysia sebagai sebuah negara yang strategik lokasinya, bukan sahaja untuk pusat pemprosesan data tetapi juga sebagai hab operasi bagi pelbagai syarikat," kata Fahmi kepada RTM dan Bernama, hari ini.
Selain mewujudkan Pavilion Malaysia yang disertai penyedia syarikat telekomunikasi negara, beberapa perbincangan akan diadakan dengan pemain industri telekomunikasi antarabangsa termasuk badan antarabangsa Groupe Speciale Mobile Association (GSMA) yang menganjurkan kongres tersebut.
"Kita juga akan saksikan beberapa majlis tandatangan MoU dengan beberapa syarikat dan juga agensi atau pertubuhan seperti GSMA, Huawei dan beberapa yang lain."
"Ini sudah pasti akan mencerminkan hubungan strategik yang ingin dijalin untuk memastikan wujud kelestarian dan kemampanan dalam ekosistem telekomunikasi Malaysia," tambah Fahmi.
Perhimpunan tahunan terbesar industri telekomunikasi itu disertai lebih 100,000 pemain industri berlangsung mulai 26 Februari hingga 2 Mac.