fb fb fb fb fb

Pengaktifan semula Tribunal Penjawat Awam, perlu perbincangan KPPA dan KSN - Fahmi

Foto BERNAMA

BARCELONA, 24 Februari- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa sebarang cadangan agar Tribunal Penjawat Awam dihidupkan semula hendaklah dibincangkan terlebih dahulu dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Negara.

Kenyataan Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan itu, mengulas cadangan daripada Kesatuan Pekerja-pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM) berhubung perkara berkenaan.

Cadangan KPPLPPM berhubung pengaktifan semula tribunal itu, susulan isu penurunan pangkat Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar.

"Kita tahu dan kita sedar dalam mana mana organisasi, sudah pasti prestasi pekerjaan dan perkhidmatan itu menjadi satu perkara yang penting."

"Cuma dalam isu mewujudkan semula tribunal, saya rasa ini satu perkara yang mungkin perlu dibincangkan dengan Datuk Seri KPPA dan Tan Sri Ketua Setiausaha Negara," kata Fahmi kepada RTM dan Bernama di Barcelona, Sepanyol.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengeluarkan arahan penurunan pangkat kepada Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar kepada Timbalan Ketua Pengarah.

Tindakan itu dibuat kerana kemerosotan prestasi Ammar, yang disifatkan sebagai tidak memuaskan dan tidak mencapai standard ditetapkan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM