fb fb fb fb fb

KSM pastikan kursus kemahiran ditawarkan, penuhi keperluan industri

Foto FB KSM

PERAI, 24 Februari- Kementerian Sumber Manusia (KSM) komited untuk memastikan kursus kemahiran yang ditawarkan di institusi kemahiran kementerian itu terutama Institusi Latihan Perindustrian (ILP) adalah yang terkini, kemas kini semasa dan juga memenuhi keperluan pasaran.

Komitmen itu selari usaha memperluaskan pembelajaran Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada semua golongan masyarakat Malaysia.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong  berkata ia bagi memastikan pelajar mendapatkan kemahiran terkini dan kemudian mereka berupaya mendapat gaji yang lebih progresif.

"KSM antara kementerian utama dalam aspek kemahiran, aspek pendidikan TVET. Kita akan buat sehabis baik tahun ini untuk memastikan bukan sahaja latihan kemahiran yang lebih meluas kepada semua golongan masyarakat atau rakyat Malaysia amnya."

"Malah, kita juga akan memastikan bahawa kursus kemahiran kita adalah yang terkini dan selaras dengan keperluan pasaran," kata Sim kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan EV dan kelengkapan EV di ILP Perai, hari ini.

Tambahnya, ILP Perai bakal dijenamakan semula sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Pulau Pinang dengan menyasarkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sebagai pelanggan utamanya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM