PUTRAJAYA, 24 Februari- Budaya banteras rasuah dan memperjuang integriti dalam aspek kehidupan, perlu didedahkan terhadap mahasiswa di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata integriti dan pencegahan rasuah adalah nilai-nilai yang amat penting dalam membentuk masyarakat beretika.
Konsep “Malaysia Madani” yang diketengahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi teras utama dalam memastikan integriti dan perjuangan antirasuah diperhebat untuk memulihkan imej Malaysia di mata dunia.
"Aspek ini sebenarnya menjadi penekanan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu untuk banteras gejala rasuah hingga akar umbi. Ia bukan mudah tetapi kita tidak punya pilihan lain untuk maju ke depan, kita perlu pastikan gejala rasuah ini harus dihentikan," kata Mustapha kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penutupan Program Pertandingan Video Integriti anjuran Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) bersama Institut Integriti Malaysia (IIM).
Tambahnya, kerjasama aktif antara MCW dan IIM itu harus diteruskan untuk mendekati golongan mahasiswa bagi bersama-sama bangkit memerangi rasuah dengan lebih efektif.