fb fb fb fb fb

Kertas kerja 'Mediator Komuniti' dibentang ke Kabinet tahun ini- Aaron Dagang

Datuk Aaron Ago Dagang ditemui pemberita selepas selepas melancarkan Program Mediasi Komuniti

KUALA LUMPUR, 25 Februari- Cadangan untuk mewujudkan sebuah badan akreditasi; Mediator Komuniti sedang dalam kajian dan akan dibincangkan di peringkat jemaah menteri.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata langkah itu bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme kumpulan tersebut bagi menggalas tanggungjawab sebagai pendamai masyarakat.

"Ada banyak kes, lebih-lebih lagi di kawasan pangsapuri, kondominium dan di kampung-lampung, isu-isu remeh temeh ini antaranya masalah keluarga dan sebagainya. Jadi, kalau tiada ada 'badan' atau mediasi seperti ini, ia boleh merebak ke peringkat yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat.

"Saya berharap, tahun ini kita akan bawa cadangan ini ke Kabinet. Kertas kerja mengenainya sedang disediakan, dan saya sudah pun semak, kita sudah ada rangka untuk menghasilkan kertas kerja,"katanya.

Beliau berkata kepada media selepas melancarkan Program Mediasi Komuniti di ibu negara.

Pihaknya juga akan mempertimbangkan pemberian insentif kepada komuniti terbabit berdasarkan penglibatan secara sukarela serta kepakaran mereka dalam melaksanakan tugas itu kelak.

Sehingga kini, terdapat sebanyak 564 Mediator Komuniti yang terdiri daripada 163 pegawai perpaduan, 379 ahli jawatankuasa Komuniti Rukun Tetangga KRT dan 22 organisasi bukan kerajaan NGO agama di seluruh negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE