KUALA NERUS, 22 Oktober - Pemeriksaan secara mengejut akan dilakukan ke sekolah-sekolah terpilih bagi meningkatkan tahap keselamatan dalam kalangan pelajar.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan tahap pemeriksaan yang bersesuaian dengan arahan dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini PDRM telah melaksanakan pelbagai kaedah kawalan keselamatan antaranya rondaan berkala di setiap sekolah.
“Untuk tindakan lebih proaktif Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu sedang merancang bersama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) untuk membuat ‘spot check’ di sekolah terpilih.
“Kita mempunyai lebih 500 buah sekolah justeru kita akan melihat sekolah mana yang kita ada pelajarnya ataupun kecenderungan pelajar untuk melakukan kesalahan yan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Keselamatan Jalan Raya Pusat Pengajian Tinggi Negeri Terengganu di Auditorium Mahayuddin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, hari ini.
Tambah beliau, fokus utama terlebih dahulu kepada sekolah yang mempunyai kesalahan disiplin yang tinggi lebih mudah daripada kita membuat secara serentak.