KUALA LUMPUR , 22 Oktober – Isu kebocoran melibatkan sistem Indah Water Konsortium (IWK) di Sungai Pinang, Jelutong sedang ditangani secara berperingkat melalui pelan baik pulih menyeluruh yang telah dirancang oleh kerajaan.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata anggaran kos keseluruhan kerja baik pulih infrastruktur itu berjumlah RM49.5 juta
“Kita akan bawa perkara ini ke peringkat kelulusan kewangan. Proses kelulusan dijangka mengambil masa antara lima hingga enam bulan kerana perlu melalui Jawatankuasa Teknikal.
"Sekiranya diluluskan, projek fizikal dijangka mengambil masa kira-kira 36 bulan untuk disiapkan,” katanya pada sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Jelas beliau, sementara menunggu projek baik pulih utama dilaksanakan, kementerian melalui IWK telah memperuntukkan sebanyak RM850,000 bagi melaksanakan kerja segera membaik pulih kebocoran sedia ada di kawasan terlibat.
Jelas beliau, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan sistem perawatan kumbahan di kawasan Sungai Pinang beroperasi dengan lebih berkesan dan selamat.
