KUANTAN, 22 Oktober - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memuliakan Al-Quran melalui kaedah pelupusan naskhah yang dimampatkan menerusi Program 'Pelupusan Abu Al-Quran Ke Laut'.
Pada program yang mendapat kerjasama Tentera Laut diraja Malaysia (TLDM) itu, sebanyak 9.1 tan naskah Al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci dilupuskan.
Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, abu tersebut dilepaskan pada jarak kira-kira 6 batu nautika dari Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan.
Menurut beliau, pihaknya sentiasa membuat hebahan kepada umat Islam di Pahang agar menyerahkan Al-Quran dan buku-buku yang mempunyai ayat suci yang sudah rosak kepada Pejabat Agama Islam dan masjid di setiap daerah untuk dilupuskan dengan kaedah yang betul.
“Dan setelah itu, kita ada dua tempat untuk pembakaran Al Quran, buat masa ini di Maran dan juga di Pekan.
"Setelah itu, abu-abu tersebut dibuat bentuk sebagaimana seperti bata dan kita kemudian lupuskan ke laut, itu cara untuk kita menjaga abu tersebut dia boleh meresap ke dalam air laut, itulah cara yang kita telah putuskan untuk dilupuskan Al Quran bersesuaian dengan kehendak syarak", katanya pada Program Pelupusan Abu Al-Quran Ke Laut di sini, hari ini.
Setakat ini katanya, dua kaedah pelupusan digunapakai oleh pihak JAIP iaitu pembakaran dan penanaman Al-Quran.
Namun, pihaknya turut mempertimbangkan pengaplikasian kaedah pelupusan secara ‘deinking’ atau nyahdakwat, yang berkonsepkan kitar semula pada masa akan datang.
Jelas beliau lagi, kaedah pelupusan baharu itu telah diluluskan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Namun, Profesor Datuk Dr Asmadi berkata, kaedah itu memerlukan peruntukan yang besar, berbanding dua kaedah yang digunakan pakai kini.
