fb fb fb fb fb

Pembukaan Stadium Merdeka, Kementerian Komunikasi sedia kerjasama dengan PNB

Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 10 Januari- Kementerian Komunikasi bersedia bekerjasama dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB), bagi penganjuran majlis perasmian pembukaan semula Stadium Merdeka pada suku kedua tahun ini kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Perkara itu disebabkan kementerian berkenaan, mempunyai kapasiti untuk menyediakan bahan arkib berkaitan stadium tersebut, yang mula dibina pada 1956.

"Kita belum ada apa-apa perbincangan (mengenai perkara itu), tetapi sekiranya perlu kita sedia untuk membantu, termasuk dengan bahan sama ada footage daripada filem negara dan bahan arkib yang mungkin ada dalam simpanan RTM, contohnya.

"Jadi saya lihat ada sinergi dan nanti insya-Allah saya akan cuba berbincang dengan pihak PNB, untuk melihat bagaimana kita boleh mengaktifkan hubungan yang lebih erat antara PNB dan Kementerian Komunikasi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Menara Merdeka 118, yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di ibu negara.

Sebelum ini Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata Stadium Merdeka dijangka dibuka semula kepada orang ramai pada suku kedua tahun ini, selepas ia ditutup sejak 2016.

Usaha restorasi untuk mengembalikan stadium itu kepada keadaan asal seperti pada 1957, mendapat kerjasama daripada Badan Warisan Malaysia dan Jabatan Warisan Negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI