KUALA LUMPUR, 10 Januari- Stadium Merdeka dijangka dibuka kepada orang ramai pada suku kedua tahun ini selepas ditutup sejak 2016.
Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, usaha restorasi untuk mengembalikan stadium yang merupakan satu daripada mercu tanda ikonik bersejarah negara itu kepada keadaan asal seperti pada 1957.
Ia turut mendapat kerjasama daripada Badan Warisan Malaysia dan Jabatan Warisan Negara.
"Usaha restorasi bangunan bersejarah ini diharapkan dapat meningkatkan nilai warisan budaya negara serta mencipta peluang ekonomi dan sosial yang berkekalan, selain menarik kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke lokasi ikonik ini," katanya dalam Ucapan Menjunjung Kasih sempena Majlis Perasmian Menara Merdeka 118 yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di ibu negara.
PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, anak syarikat PNB telah menubuhkan Merdeka Heritage Trust (MHT) 2006 untuk memulih, memelihara dan mengurus Stadium Merdeka.
Bagaimanapun PNB sudah mula memindahkan operasi secara berperingkat ke Menara Merdeka 118 bermula Disember tahun lalu. PNB akan menduduki 17 tingkat yang akan menempatkan kira-kira 1,500 warga PNB.
Menurut Arshad, Menara Merdeka 118 terbahagi kepada 83 tingkat lantai pejabat premium gred A, manakala Park Hyatt Kuala Lumpur yang dijangka akan beroperasi pertengahan tahun ini akan menduduki 17 tingkat atas.
Menara canggih yang direka bentuk oleh Fender Katsalidis dari Melbourne, Australia memiliki 678.9 meter itu adalah kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa Dubai pada ketinggian 828 meter.
Struktur itu termasuk puncak menara 40 tingkat (160.4 meter).