fb fb fb fb fb

Pembukaan semula sempadan, saat yang dinanti selepas dua tahun

JOHOR BAHRU, 1 April - Pembukaan sepenuhnya pintu sempadan negara antara yang dinantikan selepas Malaysia memasuki Fasa Peralihan Endemik mulai hari ini.

Tepat pukul 12.00 tengah malam tadi, sempadan darat antara Singapura dengan Malaysia dibuka dengan rasminya.

Di Pusat Pemeriksaan Woodlands, barisan beratur panjang mula kelihatan baik bagi pelawat yang menaiki pengangkutan awam mahupun motosikal, menjelang pembukaan semula sepenuhnya sempadan darat kedua-dua negara itu.

Rakyat Malaysia yang kebanyakannya bekerja di republik itu, menjadi antara kumpulan pertama dan terawal merentas sempadan darat itu.

Bagi Jozairie Hamdan, kepulangannya cukup dinantikan keluarganya di Langkawi, Kedah yang setiap hari hanya bertanya khabar melalui panggilan telefon.

(Jozairie Hamdan ditemui di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru)

"Perasaan dia memang sangat-sangat terharulah, terima kasih sangat-sangat pada rakyat Malaysia bagi peluang kepada kami dapat berulang alik seperti dahulu, ada kebebasan macam dahulu alhamdulillah bersyukur sangat-sangat," katanya.

Bagi Tan Chung Chek, pembukaan semula sempadan itu membolehkan dia kembali bertemu dengan keluarganya yang sudah sekian lama tidak ditemui.

(Tan Chung Chek)

"Banyak happy, saya mahu tengok cucu saya, suami anak semua dan juga mak saya yang sudah berumur 80 tahun saya mahu balik tengok semua oranglah," katanya.

Sementara itu, bagi A.Vinothan, beliau merasakan peristiwa yang dialaminya hari ini merupakan sesuatu yang unik.

( A.Vinothan)

"Saya rasa macam uniklah, macam gembira yang baharulah sebab dah buka sempadan macam biasa tapi COVID ini ada banyak pengajaran yang saya dapat, tapi happy memang tidak tahu nak cakaplah," katanya.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini dilapor berkata kerajaan negeri menjangkakan hampir 400,000 orang menggunakan laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Linkedua, pada minggu pertama pembukaan semula sempadan.

Media Baharu