fb fb fb fb fb

Gaji minimum: Peniaga diingatkan agar tidak naikkan harga barang

(GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR, 1 April - Peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya turut menjalankan pemantauan berhubung perkara itu.

(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tengah)
melihat produk ketika melawat kedai KK SUPER MART di Bandar Tasik Selatan/FOTO BERNAMA)

"Sebab itu saya juga sebelum ini pernah membuat rayuan, lebih-lebih lagi kepada peniaga supaya jangan ambil kesempatan apabila kadar gaji minimum dilaksanakan kerana memikirkan kononnya pengguna sudah ada gaji yang besar daripada sebelum ini," katanya selepas melancarkan peraduan 'Beli Dan Menang RM1 Juta' di cawangan KK Super Mart Maju Link, Bandar Tasik Selatan dan merasmikan pembukaan K3 Coffee Lab cawangan pertama milik KK Mart, di sini.

Pada 19 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelulusan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara mulai 1 Mei ini.

Dalam pada itu, Nanta turut berkata pelaksanaan program seperti Program Jualan Malaysia, Kempen Beli Barangan Malaysia dan Program Jualan Keluarga Malaysia akan diteruskan sepanjang bulan Ramadan ini khusus untuk membantu rakyat menangani isu kos sara hidup.

Media Baharu