fb fb fb fb fb

Pembukaan sempadan negara akan diumum tidak lama lagi- PM

BANGKOK, 25 Februari- Rancangan pembukaan sempadan negara akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkongsi berita baik itu kepada Keluarga Malaysia di Thailand, pada majlis perjumpaan yang diadakan di Bangkok.

"Saya nak umumkan yang kita akan buka sempadan kita tidak lama lagi. Sekarang ni dalam proses untuk kita meyakinkan rakyat kita bahawa yang datang dari luar pun tidak boleh membahayakan kita kerana kita sudah ada dua vaksin dan sebagainya, "katanya.

Majlis perjumpaan itu dihadiri kira-kira 100 rakyat Malaysia yang terdiri daripada pegawai-pegawai kedutaan dan pasangan, Ahli Kelab Malaysia-Thailand, Ahli Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC), pegawai tentera yang sedang menjalani kursus pertahanan dan wakil pelajar Malaysia yang menuntut di negara itu.

Dianggarkan seramai 5,000 Keluarga Malaysia yang menetap di seluruh Thailand, namun hanya 1,018 yang mendaftar secara rasmi dengan Kedutaan Besar Malaysia.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Perjumpaan Keluarga Malaysia di Bangkok)

Dalam ucapan ringkasnya, Ismail turut berkongsi perkembangan semasa di tanah air, menyentuh situasi politik, ekonomi serta status Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan PICKids.

Kemuncak lawatan rasmi sulungnya ke Thailand, Perdana Menteri dijadual bertemu rakan sejawatnya, Jeneral Prayut Chan-o-cha dan mengadakan Mesyuarat Terhad di Rumah Kerajaan.

Kedua-dua pemimpin juga akan mengadakan sidang media bersama bagi mengumumkan beberapa ketetapan yang dicapai bersama.

Ini termasuk perincian rancangan pembukaan sempadan Malaysia-Thailand, kegiatan ekonomi dan pergerakan rakyat kedua-dua negara selain kepentingan infrastruktur di wilayah sempadan.

Lawatan rasmi Perdana Menteri bertujuan mengeratkan hubungan dengan kepimpinan kerajaan Thailand dan pengukuhan hubungan diplomatik kedua-dua negara yang memasuki tahun ke-65.

Lebih signifikan, tiada sebarang lawatan peringkat tertinggi dapat diadakan sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini, disebabkan penularan COVID-19.

Media Baharu