KUALA LUMPUR, 7 Julai- Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) menyasarkan satu juta orang dijangka melawat muzium di seluruh Malaysia tahun ini berikutan pembukaan semula sempadan negara pada April.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata kemasukan pelancong dijangka menjana pendapatan sekitar RM900,000 sambil menambah, ia akan disalurkan kepada tabung amanah Jabatan Muzium.
MOTAC telah melancarkan Pelan Rangka Kerja Pemulihan Pelancongan 2.0, kesinambungan Pakej Rangsangan Ekonomi, bagi memudahkan pemulihan industri pelancongan dan kebudayaan, selain memberi insentif dan bantuan untuk rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat untuk melancong dalam negeri.
"Sesungguhnya saya percaya dengan panganjuran pameran seumpama ini dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan potensi muzium sebagai salah satu penyumbang untuk usaha penjanaan semula ekonomi negara.
Inisiatif ini juga akan memberi lebih banyak pilihan dengan berbagai variasi produk pelancongan negara bagi merancakkan kembali sektor pelancongan dan kebudayaan negara," kata Datuk Seri Nancy ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Motif dan Reka Corak Tekstil di ibu negara.
(Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri berkata demikian kepada media selepas Majlis
Perasmian Pameran Motif dan Reka Corak Tekstil hari ini)
Selain itu, kerajaan komited untuk menambah bilangan pekerja mahir dan produk dalam sektor pelancongan dengan merangka dan melaksanakan kedua-dua Rancangan Pelancongan Negara 2020-2030 serta Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DAKEN).