KUALA LUMPUR, 7 Julai- Tiga sistem pengurusan secara dalam talian sedang dibangunkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Ia bagi menambah baik sistem pengurusan dan memudahkan tugas guru di sekolah.
Jelas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, platform berkenaan melibatkan sistem penyusunan jadual pembelajaran, sistem pengurusan utiliti dan sistem pelaporan pembelajaran dan pengajaran (PdP) guru.
Langkah tersebut selaras dengan digitalisasi KPM bagi menambah baik sistem pengurusan dan kecekapan sumber selain memperkukuh pedagogi pendidikan melalui penggunaan teknologi digital.
"Selama ini apa yang dilaksanakan sekolah, ia dibuat secara manual oleh Penolong Kanan Pentadbiran ataupun ia dibuat menggunakan sistem yang dibuat oleh vendor berbeza. Kita membuat ketetapan bagi KPM membuat sistem agar semua sekolah seluruh negara masukkan maklumat yang diperlukan. Maka, sistem itu akan membantu sekolah membina jadual waktu bagi menyelaras tugas-tugas Penolong Kanan Pentadbiran tadi," kata Dr Radzi Jidin dalam sidang media selepas merasmikan Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) 2021.
(Datuk Dr Radzi Jidin menyampaikan hadiah kepada pemenang DUTA 2021)
Bagi sistem pengurusan utiliti yang bertujuan memantau penggunaan air dan elektrik sekolah, ia sedang melalui fasa akhir dan dijangka mula digunakan tahun ini.