fb fb fb fb fb

Pembudayaan integriti, peranan IIM akan terus diperkasa

Ketua Seksyen Perancangan dan Strategik Korporat IIM, Zubayry Abady Sofian

KUALA LUMPUR, 15 Disember- Pengukuhan kembali peranan Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai organisasi mengurus agenda pembudayaan integriti giat dijalankan.

Ketua Seksyen Perancangan Dan Strategik Korporat Institut Integriti Malaysia, Zubayry Abady Sofian berkata IIM giat menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memperkasa nilai integriti dalam kalangan masyarakat.

Tambah Zubayry, bagi membudayakan integriti dan memperkukuh tadbir urus, pendekatan lebih berhemah digunakan IIM melalui pendidikan, advokasi dan latihan berterusan supaya nilai integriti itu lebih mudah dijiwai.

"Bezanya kita ini, elemen pembudayaan kita banyak memberi kesedaran, pemahaman kepada masyarakat. Dalam usaha mendidik masyarakat ini, kena banyak sentuh pelbagai elemen dalam fizikal.

Kita beri data atau fakta supaya mereka sedar tentang perkara itu. Kita sentuh hati mereka, dengan kajian-kajian kes, pengalaman lampau individu yang terlibat dengan jenayah salah laku integriti supaya mereka sedar dan faham, mereka perlu jauhi daripada melakukan salah laku integriti," kata Zubayry kepada pemberita selepas program Selamat pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Menurutnya, IIM mengalu-alukan kerjasama dengan semua pihak bagi membawa reformasi dan perubahan nilai integriti dalam kalangan masyarakat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM