fb fb fb fb fb

Pembonceng motosikal maut terbabas dengan lori

RAUB, 10 Oktober - Seorang pembonceng motosikal maut manakala penunggangnya cedera parah selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori di lampu isyarat Dong, Raub, Pahang pukul 11.20 pagi tadi.
 
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, berdasarkan siasatan dua individu tersebut dalam perjalanan dari arah Bandar Raub menuju ke Pekan Dong.
 
Manakala, pemandu lori yang berseorangan pula dari arah Kelantan menghala ke Seremban.
 
"Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa dikatakan secara tiba-tiba keluar dari persimpangan dan telah dilanggar pemandu lori yang bergerak terus ketika lampu isyarat menunjukkan warna hijau" kata Mohd Shahril.
 
Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Raub bagi mendapatkan rawatan manakala pemboncengnya pula disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
 
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

(Motosikal terbabit kemalangan dengan sebuah lori)

Media Baharu