fb fb fb fb fb

Pembinaan tiga Alur limpah Sungai Golok akan disegerakan

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga Dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika melakukan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Teluk, Kota Bharu, Kelantan/FOTO BERNAMA

KOTA BHARU, 22 Januari - Pelaksanaan pembinaan tiga alur limpah di sepanjang benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai (PLSB) Sungai Golok masih di peringkat penelitian kementerian.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga Dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memberi jaminan, pelaksanaan projek tersebut akan disegerakan sebelum musim tengkujuh yang akan datang.

Jelas Akmal, ketika ini kaedah pelaksanaan projek sedang di teliti selain beberapa aspek yang perlu di beri perhatian secara menyeluruh supaya projek berkenaan mampu berfungsi dengan baik dalam usaha mengurangkan kesan banjir khususnya di Rantau Panjang.

"Ketika ini, proses dinilai secara dalaman bagaimana supaya projek berkenaan dapat disegerakan.

"Kita sedia maklum melalui kaedah sedia ada, perkara berkenaan akan mengambil masa.

"Jadi, ini adalah antara perkara yang perlu kita teliti bagi menyegerakan projek tersebut seperti mana hasrat Perdana Menteri", katanya yang ditemui media selepas melakukan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Teluk di sini.

Pada Disember tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat penduduk terjejas banjir di Kelantan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM6 juta bagi membina tiga alur limpah di sepanjang benteng PLSB Sungai Golok bagi mengurangkan kesan banjir di Rantau Panjang.

Setiap satu pembinaan Alur Limpah dianggarkan bernilai RM2 juta
 
Mengulas lanjut, Akmal berkata projek tersebut akan di mulakan selewat-lewatnya sebelum kedatangan musim tengkujuh yang akan datang.
 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD