KANGAR, 18 November- Keperluan membina tembok keselamatan di sepanjang laluan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Perlis tertakluk kepada penilaian agensi-agensi keselamatan negara.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata proses penilaian berkenaan dilakukan secara berterusan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan dan agensi keselamatan lain.
Katanya, Kementerian Ekonomi dalam Rancangan Malaysia Ke-13, (RMK-13), memberi lebih tumpuan kepada usaha membangunkan ekonomi sempadan dan ia turut melibatkan soal keselamatan agar tidak berlaku isu-isu berkaitan penyeludupan.
"Ia bukan soal kos, banyak lagi soal lain yang perlu diberikan pertimbangan oleh pakar yang tahu selok-belok cabaran sempadan ini terutama agensi-agensi keselamatan yang terlibat.
"Jadi proses kami ialah kita akan dengar penilaian itu dibuat oleh agensi-agensi berkenaan dan jika ia menjadi keperluan atau keutamaan negara dengan kos tertentu dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi, kemudian kita tengok macam mana"
Beliau berkata demikian dalam Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) Kementerian Ekonomi Bersama Kerajaan Negeri Perlis di Dewan 2020, Kangar.
Laluan keselamatan melibatkan jarak 98.2 kilometer dari Chuping, Padang Besar hingga Pos Bukit Batu Putih, Kuala Perlis.
Sepanjang 45km daripada garisan sempadan tersebut tidak memiliki tembok atau pagar keselamatan susulan keadaan muka bumi berbukit-bukau dan hutan tebal.